​🔗 Silsilah Fikih Puasa Lengkap (Bahagian 12)
📚 Bab 7⃣: Ketentuan Bagi Orang Yang Tidak Mampu Lagi Berpuasa
🔘 Ketentuan Fidyah

🔹Fidyah yang diberikan kepada fakir miskin (dari kalangan muslim) adalah setiap jenis makanan yang biasa diberikan seseorang kepada keluarganya di antara makanan-makanan ruji (pokok) negeri setempat, baik berupa gandum, burr, gandum sya’ir, beras, mahupun lainnya.
🔹Ulama berbeza pandangan dalam ukuran fidyah yang wajib diberikan:
1⃣: Jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa kadar fidyah adalah satu mudd dari jenis makanan ruji apa saja.
2⃣: Sebahagian ulama lainnya berpendapat bahawa kadar fidyah adalah setengah sha’ dari jenis makanan ruji apa saja, berdasarkan penyamaan hukum dengan fidyah al-Adza pada ibadah haji secara qiyas. Pendapat ini difatwakan oleh al-Lajnah ad-Da’imah yang diketuai al-Imam Ibnu Baz.
🔹Satu sha’ senilai dengan empat mudd. Jadi fidyah dengan setengah sha’ senilai dengan dua mudd. Menurut al-Lajnah Da’imah, satu sha’ dalam ukuran timbang, kurang lebih 3kg. Manakala menurut al-Imam Ibnu Utsaimin kurang lebih 2.10kg beras atau 2.04kg gandum burr.
🔹Fidyah al-Adza adalah yang disebutkan dalam hadits Ka’ab bin Ujrah tatkala ia menunaikan haji dan terganggu oleh kutu di kepalanya. Rasulullah memerintahkan untuk mencukur rambut kepalanya dengan memberi tiga pilihan sebagai tebusannya. Di antaranya baginda mengatakan:
📕“Atau engkau memberi makanan kepada enam orang fakir miskin, untuk setiap orang setengah sha’.” (Muttafaq ‘alaih)
3⃣: Ada pula berpendapat tidak ada ketentuan kadar tertentu dalam pembayaran fidyah. Dengan dalil bahawa Allah memerintahkan pembayaran fidyah secara mutlak tanpa membatasinya dengan kadar tertentu. Maka dari itu, sah dibayarkan dengan kadar yang dianggap cukup dalam pemberian makanan menurut tuntutan kebiasaan masyarakat. Pendapat ini yang rajih (terkuat) sebagaimana dinyatakan al-Imam Ibnu Utsaimin dalam asy-Syarh al-Mumti (6/349-350). Ini berdasarkan perbuatan sahabat, Anas bin Malik yang telah lanjut usia, beliau mengumpulkan tiga puluh orang fakir miskin dan memberi mereka roti dan lauknya.
📕“Anas telah membahagikan makanan fidyah setelah ia lanjut usia dalam setahun atau dua tahun, kepada seorang fakir miskin untuk setiap harinya berupa roti dan daging. Ia pun berbuka (tidak mampu berpuasa).” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq dalam Kitab ash-Shahih dalam Kitab Tafsir Al-Qur’an, Bab Qauluhu Ta’ala: أَيَّامًامَّعْدُودَتٍ)
❗Pembayaran fidyah dalam bentuk wang kepada fakir miskin tidak sah, kerana yang diwajibkan oleh Allah adalah al-Ith’am (pemberian makanan) dan Dia menamainya al-Ith’am. Maka dari itu, wajib menunaikannya sesuai dengan yang telah diwajibkan dan dinamakan oleh Nya. Hal ini ditegaskan oleh al-Imam Ibnu Utsaimin dan al-Lajnah ad-Da’imah yang diketuai Ibnu Baz. (Majmu’ ar-Rasa’il 19/116-117 dan Fatawa al-Lajnah 10/163-164, 23/7)
📂 (Faedah dari Kitab Manhajus Salikin wa Taudhih al-Fiqhi fid-Din -Kitab ash-Shiyam-, karya Al-Imam Abdurrahman as-Sa’di, disyarah al-Ustadz Muhammad as-Sarbini, diterbitkan Oase Media)
Bersambung insyaAllah.
📚 II مجموعة طريق السلف II 📚

🌐 www.thoriqussalaf.com

🌐 http://telegram.me/thoriqussalaf